Selasa, 10 November 2009

babu

dalam dingin malam...
sedang asyik aku berfikir tentang "sesuatu itu"...
tiba-tiba aku terfikir akan kamu...
aku terkenang tentang kamu wahai babu...

babu...
dimata aku kau tidak rendah...
walau gaji tidak seberapa itu tidak mengapa...
keringat dan jasa bakti itu lebih berharga...
kau membersih,kau menjaga dan kau mendidik...
itu sudah terlalu besar nilainya...

jadi...
mengapa mesti begini..?
kau memijak si anak yang ingin bermain...
kau meminum susu si kecil yang kelaparan...
kau menunjal-nunjal kepala mereka tatkala tiada orang tuanya...
kau curi jam tangan,wang dan barang kemas mereka...
kau racun minuman dan makan makanan mereka dengan racun serangga...
mengapa mesti begitu..?

adakah sewaktu kecil dulu kau dilayan begitu...?
atau lebih mudah jika begini...
kau mahu anakmu dilayan sebegitu..?
bukan "dia" saja...
aku juga pasti mematahkan tulangmu jika kamu melakukan anakku sebegitu...

hati manusia pasti kau tahu bagaimana...
jangan sekali kau buatnya terluka...
seharusnya kau bersyukur...
kerena mereka telah memberikan kau peluang...
peluang untuk mencari sesuap nasi...
peluang untuk meneruskan hidup...
peluang untuk membantu keluargamu disana...

buat babu...
jika kau bencikan majikanmu...
pergilah dari situ...
mungkin bukan disitu tempatmu...
jangan kau siksa lagi anak itu...
kerana hari mendatang adalah balasan dari apa yang kita lakukan.

*entri lama yang tak sempat nak di post

Isnin, 14 September 2009

aku perlukan kalian

mungkin ini entri terakhir sebelum aku pulang beraya pada hujung minggu ini...

jujurnya,sejak akhir-akhir ini aku seperti tersepit,lemas terkapai-kapai tanpa mampu berbuat apa-apa.

aku memberi tanpa aku sendiri mencukupi.
aku menolong tanpa aku sendiri tertolong.
aku terpaksa ada untuk setiap yang tidak perlu ada.
aku bingung...

antara soal menjaga hati atau makan hati...aku tak mampu untuk memilih yang mana satu.aku jadi benci kerana tak mampu memilih.
terasa terlalu kecil dan lemah untuk semua ini.

tolonnngggg!

Rabu, 9 September 2009

andai aku seperti masa



hari ini 09/09/09.sekali berlalu takkan kembali lagi.itu masa,sekali terlepas takkan datang semula.

sebenarnya aku kagum dengan masa.andai masa itu seorang manusia,pasti dia seorang yang ego tetapi penuh dengan kebenaran.

hanya memandang kehadapan,meninggalkan yang berlalu sebagai sejarah yang hanya mampu untuk diratapi tanpa mampu diubah semula.kagum!

KALAU lah aku mampu menjadi seperti masa.indah sungguh.~hmm
tapi aku benci perkataan "kalau".kalau hanya untuk mereka yang lemah dan aku tak mahu jadi seperti itu.ya,kita semua tahu kalau itu hanya penyedap hati tatkala kita sedang remuk,punah atau jatuh terduduk.

hmm...ape aku mengarut ni.ntah la...tapi apa pon..aku kagum dengan masa.selamat jalan 09/09/09

Ahad, 30 Ogos 2009

Kita warga merdeka

Aku lihat...
Negara ini indah...
Dengan pembangunan yang pesat...
Dengan persekitaran yang cantik...
Dan masyarakat yang berbilang kaum.

Aku lihat...
Negara ini pelik...
Katanya satu Malaysia...
Tapi aku lihat tiada apa yang sama...
Mungkin aku saja yang buta.

Aku lihat...
Negara ini unik...
Yang Cina penuh dengan kekayaan...
Yang India sibuk menuntut hak...
Yang Melayu penuh cerita dikedai kopi...
Yang lain?aku tidak pasti.

Aku lihat...
Negara ini perlahan...
Teknologinya perlahan...
Pertaniannya perlahan...
Ekonominya perlahan...
Sukan juga perlahan...
Bahkan untuk memberi penghargaan juga perlahan.

Aku lihat...
Sudah 52tahun kita ini bebas...
Bangkit bangun menuju keatas...
Tiada lagi menunduk layu...
Tiada lagi menunggu telunjuk...
Kerana kita sendiri punya cita...
Salah seorang warga yang merdeka.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52

buat sekian kalinya (terlepas dari maut)

Salam Ramadhan buat semua rakan-rakan.
Alhamdulillah setakat yang telah dilalui,semuanya berjalan dengan lancar.Harap-harap kalian begitu juga.

Sebenarnya sekali lagi aku terlepas dari maut.Mula-mula dulu aku berlanggar dengan kereta depan-depan.Motor terpatah dua dan ajaibnya aku lansung tiada luka apa-apa.

Dan,sekali lagi aku terlepas dari maut.Ceritanya begini...

Malam sebelum menyambut hari pertama puasa aku pulang ke Batu Pahat dengan menunggang motorsikal angah.

Setiap kali berhenti di stesen minyak mesti aku check tayar ok ke tak.Sebelum ni tak pernah pun buat macam tu.

Rupa-rupanya ada perkara buruk yang hendak berlaku.

Baru saja melepasi papan tanda 5Km exit Ayer Hitam,tiba-tiba tiub tayar belakang meletup.Bayangkan dengan kelajuan 120km/j pada ketika itu ditambah dengan angah dibahagian belakang dan lampu jalan yang tiada,terlalu sukar untuk aku mengawal motor itu.

Dalam hati cuma fikir,"kalau jatuh biarlah aku yang mati sorang".

Alhamdulillah nyawa ini masih mahu lekat ditubuh ini.Aku berjaya mengawal keadaan walaupun hampir-hampir sebenarnya terguling ditengah jalan.

Cerita menyorong motor dalam gelap dan jauh tak perlu aku ceritakan.

Terima kasih tuhan.

P/s : Entri ini telah lama aku tulis..cuma baru hari ini berkesempatan untuk dikongsikan.

Selasa, 18 Ogos 2009

hasil terbaru

me n bart

aku mahu menulis...
aku mahu seni...
aku mahu fotgrafi...
aku mahu muzik...
tapi aku hanya seorang penunggang yang tidak punya kereta...
bolehkah aku jadi seperti yang aku mahu?

Isnin, 17 Ogos 2009

sesuatu itu...

saat terang yang begitu pasti...
tiba gelap datang menyelubungi...
lantas hilang semua cahaya...
lantas hilang semua punca...

ramai tertewas disitu...
ramai terjatuh disitu...
ramai tertanam disitu...
yang hilang dari wujud juga disitu...

bila rasa itu mati...
tiada lagi kecil,muda atau tua...
miskin,hina atau kaya...
perempuan,lelaki atau keduanya...
semuanya jadi sama...

jangan biarkan matamu buta
jangan biarkan jiwamu tiada...
jangan biarkan hatimu kosong...
hanya kerna sesuatu itu...

kerana dunia ini penuh dengan sesuatu yang lebih bermakna dari sesuatu itu...

Khamis, 6 Ogos 2009

aku dan gadis itu

aku melangkah sepi...
sendiri dalam dunia yang seolah-olah sudah membenci...
saat sendi-sendi tidak mampu menahan untuk berdiri...
saat manusia tidak lagi mengenal diri...

dihujung sana ada seorang anak gadis...
menangis sedih seorang diri...
lalu aku mampir dan bertanya...
apa yang telah terjadi sampai kau begini?

aku ini menyesali diri...
aku ini menyesali nasib...
aku ini menyesali semuanya...
aku ini menyesal akan semua yang sudah tiada apa-apa...

aku sayu melihatnya...
aku faham...benar-benar faham situasinya...
kerana aku ini juga sepertinya...
seorang insan yang tidak punya apa-apa...

ku hulur tangan dengan depang yang terbuka...
mari...mari datang pada aku...

lupakan saje semua yang berlaku...
aku tidak peduli semua itu...
biar aku terangi hidup sebagai mataharimu...
biar aku ceriakan hidup sebagai lagumu...
biar aku limpahkan hidup dengan kasihku...
biar semuanya untuk mu...

Sabtu, 25 Julai 2009

antara member dan langau

member...
dulu aku sangka kita ini...
seperti teman yang rapat...
seperti adik dan abang...
seperti darah daging...
rupanya cuma khayal...

member...
dibelakangku rupanya...
kau kata aku ini teruk...
kau kata aku ini buruk...
kau kata aku ini busuk...
kau kata aku ini tahi...
aku tahu semuanya...

member...
jangan kau berpura memanggilku sahabat...
kerna kau tidak tahu apa maksudnya itu...
kenali...selami...dalami semuanya dulu...
kalau bukan untukmu...
jangan getarkan bibir...
jangan gerakkan lidah...
untuk sebut perkataan itu...

member...
kini kau datang kepada aku...
kerana apa?
kerana kau tiada tempat berlindung...
kerana kau tiada tempat berteduh...
kerana kau tiada tempat berhibur...
kerana kau tiada gadis untuk meneman tidur...

member...
marilah sini...
mari datang pada aku...
mari datang pada si teruk...
mari datang pada si buruk...
mari datang pada si busuk...
mari datang pada si tahi...
mari jadi LANGAU sampai mati.

usia kian berlalu

usia kian berlalu...

aku lihat satu persatu...
manusia pergi buat selamanya...
hanya tinggal nama...
hanya tinggal kenangan...
pahit mahupun manis...
mungkin juga hutang...

bagaikan dalam turutan...
selepas seorang,seorang lagi turut pergi...
sedih,sayu,hiba semua akan dirasa...
tapi mampukah rasa itu mengembalikan semuanya...?

terkadang seperti belum puas bersama...
seperti terlalu banyak ingin dikongsikan...
seperti terlalu banyak untuk diceritakan...
seperti terlalu banyak keampunan dinginkan...

aku juga akan menyusuri jalan yang sama...
sudah itu ketentuannya...
namun cukupkah semuanya?
cukupkah bekalan untuk kesana?
seringkali terlupa...
kerana aku hanya insan biasa

Selasa, 21 Julai 2009

sempit

terlalu sibuk...sesak...sempit...tertekan
maaf...
akan kembali lagi.

Ahad, 5 Julai 2009

lepaskan rasa itu

maaf jika terlewat untuk menambah entri di blog ini.sesungguhnya aku bukan seorang penulis professional yang terlalu mudah untuk melakar apa yang difikirkan dalam bentuk ayat.

jika ada rasa maka aku akan tulis.dan jika tiada apa maka aku lebih selesa untuk berkunjung kerumah rakan-rakan blogger yang lain.kadang-kadang akan kutinggalkan pendapat dan kadang-kadang hanya sekadar datang untuk membaca dan berdiam saja.

sebenarnya aku baru saja pulang dari blog seorang rakan ni.lalu idea itu muncul.maaf jika kau rasakan aku mencuri idea kamu.bukan mencuri cuma mahu menceritakan tentang aku dalam tajuk yang sama.

aku mahu bercerita tentang stress,sakit hati,makan hati dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.maka jika sudi bacalah.jika tidak biar saja aku luah apa yang aku rasa.

diwaktu kecilnya aku lebih suka bersendiri.sehingga kini aku lebih suka bersendiri kerana aku lebih suka begitu.lebih tenang dan aman untuk hati ini.kerana aku ini suka memandang sesuatu itu dengan lebih dalam.maka kadang-kadang aku akan merasa sakit hati jika melihat orang itu begini begitu.padahal pada mata kamu biarkan saja.mahu peduli apa sama itu semua.tapi tidak pada aku.

jadi,balik kepada tajuk asal.ingin aku ceritakan tentang cara-cara aku melepaskan tekanan,sakit hati,makan hati dan perkara-perkara seumpama itu.sebab musababnya mungkin ada yang pernah aku ceritakan.jadi pada kali ini hanya cara aku melepaskan semua apa yang aku rasa.

zaman kanak-kanak,jika ada yang tidak menyenangkan hati ini atau dengan ayat yang lebih mudah,sakit hati aku akan kayuh basikal dengan sepenuh tenaga sehingga penat.dan matahari senja akan menjadi tempat aku meluah segala.jika beban itu masih terasa berat untuk hati ini,bantal tidur akan menjadi mangsa air mata.ya aku suka menangis pada waktu kecil..tapi tiada siapa yang tahu kerana waktu itu semua sedang nyenyak tidur.kini kalian tahu tentang aku pada waktu kecil.

remaja pula terlalu gelap buat aku.dimana ego itu semakin meninggi dan amarah itu bagaikan api yang menanti untuk disiramkan dengan minyak.aku lebih senang menyelesaikan masalah dengan kaki dan tangan yang ada.kononnya cara lelaki padahal hanya mencari kepuasan.sehinggalah tuhan menarik kembali insan-insan yang aku sayang.aku seperti hilang panduan ketika itu dan aku sedar aku hanyalah si lemah yang tidak punya apa-apa untuk dibanggakan.rokok menjadi teman baik ketika itu.dan disuatu hari itu aku tumbang tanpa ku sedar (black out) kerana terlalu banyak menghisap rokok tanpa henti.

melangkah ke alam kolej aku mempunyai tabiat melepaskan semua dengan cara yang lain pula.kali ini lebih selesa dengan menumbuk pintu bilik,almari,katil,meja dan semuanya lah.aku puas bile dapat melepaskan sakit itu.

di akademi itu pula aku mengenal dunia ini dengan lebih dalam lagi.aku kenal air kencing syaitan,aku kenal tentang manusia yang berkawan hanya kerna sesuatu.terlalu sukar untuk mencari mereka yang jujur.dan kebiasaannya air kencing syaitan itu akan menjadi teman ku tatkala terlalu berat yang ku pikul.dan akan aku torehkan tangan ini dengan benda-benda tajam sehingga berdarah dan sehinga puas.luka itu lansung tidak terasa kerana aku merasakan luka didalam itu lebih perit rasanya.

tapi kini....

telah aku tinggalkan semua yang dulu.telah aku buang segala yang menghitam dan menggelap gelitakan hati ini.semua orang perlu berubah kearah yang lebih baik dan peluang itu harus kita beri kerana tidak akan ada seorang pon dari kita yang terlepas dari melakukan kesalahan dalam hidup ini.*senyum jika kamu setuju*

kini aku lebih senang pergi ke tempat yang tenang seperti putrajaya untuk menikmati keindahan alam.dan jika di kampung aku lebih suka ke pantai.cuba lah...lepaskan semua yang kamu rasa.bahagia itu kita yang cipta.bahagia itu apa yang kita lihat dengan mata kita.bahagia itu apa yang kita ingin rasa.

jadi...mari merasa :)

Khamis, 2 Julai 2009

langit mula membenci aku?

sekitar 7.30 pagi aku lihat langit begitu gelap.tampak begitu garang bagai si raja yang murka kepada rakyat jelatanya.

aku bergegas mandi dan bersiap untuk ke kolej.dengan harapan penuh didada agar aku sempat sampai sebelum awan yang penuh dengan kegelapan itu memuntahkan isi perutnya ke bumi.

sempat lagi aku berkata kepada langit ketika sedang menghidupkan enjin motosikal.
"tunggu sekejap ya,aku sudah mahu pergi ni"

mungkin langit terlalu marah kepada aku dan berkata:
"peduli apa aku sama kamu"

belum pun sampai separuh jalan, nikmat yang dinanti-nanti oleh mereka yang menghadapi musim kemarau telah pun turun.awan telah mula memuntahkan isi perutnya dengan banyak sekali.aku lencun.

ditambah dengan keadaan jalan yang sangat sesak menjadikan situasi ini begitu sempurna.*hmmph*

dan akhirnya aku terlewat 5minit untuk sampai ke kelas.tambah menyempurnakan keadaan apabila pintu kelas telahpun dikunci.

buat langit:
begitu marah kepada aku hanya kerana terlupa mengucapkan selamat malam kepada kamu semalam?

Rabu, 1 Julai 2009

puncak itu tercapai jua

sampai juga kita kesana ya...
tempat yang rasanya begitu tinggi buat kita...
tempat yang rasanya tidak tercapai tangan kita...
kerana di suatu ketika dahulu...
kita dikatakan hanya mampu mengira syiling saja...

"orang kampung apa tahu???
setakat kira syiling boleh la..."
itu kata mereka yang kita panggil atuk...
kerana mereka orang bandar,kerana mereka berada,kita dihina...
tapi itu semua dahulu...
kami bukan lagi anak kecil yang boleh kau hina...

tuhan itu sesungguhnya maha adil...
kemana pergi cucu-cucu yang kau agungkan?
tidakkah mereka hanya terhenti disekolah?
tidakkah mereka masih lagi meminta-minta seperti anak kecil?
tidakkah sebenarnya mereka itu lebih hina dari kami yang kampung ini?

buat adik-adik ingat pesan ini...
sudah aku tunjukkan contoh buat kamu semua...
ambil dan tiru seperti aku...
kita tutup mulut mereka yang mengata...
kita hapuskan segala cerca...
biar bulat mata mereka memandang kita...
anak kampung juga mampu berjaya...
bukan aku saja...
tapi kita semua.

kami sampai sehari sebelum hari pendaftaran.mujurlah pihak universiti ada menyediakan tempat penginapan sementara dengan bayaran hanya 20ringgit sebilik.

kuat sangat pengaruh coke dekat dia ni agaknya...


aisyah

mamat

bersiap seawal 6.30 pagi

sempat lagi bergambar

cuba beraksi formal...mamat buat muka sedih

bak dengan ibu pon nak join sekali

mamat orang yang paling sedih...kurang lagi seorang teman bermanja




akhirnya...kad pelajar sementara...tahniah dik

Dan last sekali untuk tatapan kalian....

Percubaan aku untuk menjadi Superman malaysia menggantikan Faizal Tahir...hehehe

Ahad, 28 Jun 2009

Cerita edisi gambar (Teluk Kemang)





Kebetulan kami semua sedang bercuti,jadi masa yang ada cuba kami habiskan bersama.

Agak sukar untuk kami adik-beradik berkumpul bersama.Biasanya detik sebegini hanya muncul setahun sekali iaitu pada Hari Raya.

Sebenarnya kami bukanlah adik beradik kandung cuma kami membesar bersama dan sudah mempunyai ikatan kimia yang terlalu rapat seperti adik beradik kandung.

Nizam - along (big boss kat Sime Darby Pd n dah berkahwin)
Aku - angah (masih lagi study)
Pie - uda (askar laut malaysia)
Poey - ucu (juga masih study)

7am : Bertolak dari rumah Nizam di Spring Hills
7.20am : Kami tiba di teluk kemang



Nizam dengan gaya slumber letak kaki kat Pie...haha

Aku dan Nizam...

Ni lah kami adik beradik : Dari kiri- Nizam,Aku,Pie,Poey (da macam satu pic band Hujan pulak)





Aksi poey ketika cuba melemaskan diri dengan terjunannya




Aku rasa pie ni dulu ada hati nak jadik model la...hehe

Tengok yang ni pulak...

Kan betol aku cakap...dia memang ada hati nak jadik model...hehe

Nizam cuba beraksi comel...

Aku rasa macam ada something yang funny dekat pic ni...hehe

Golongan ibu-ibu pun datang bersukan dekat sini...baju biru ( kak sharry dari Jb)

Adik-adik jangan ikut macam kami taw..sayang kesihatan tu :)

Aku sorang terselamat dari kene potong kepala.. :P

Kami yang sedang senang hati...

Candid...da macam sakit pinggang pulak kitorang ni..haha

Pie dengan gaya spastik seperti biasa... =)

Aku dan Poey

Kerusi ni nak duduk pon kene sewa rupanya...ingatkan free :P


Aku cuba beraksi solo...heheh

Buat Mu Teman...

Tenangnya melihat...
Bila kita semua sudah ada hala tujunya...
Tiada lagi risau yang mana suatu ketika dahulu...
bila salah sorang dari kita...
Seperti tidak punya apa untuk masa depan...

Terlalu kuat rasanya hubungan ini...
Si gadis itu jatuh yang kedua bila kita bersama...
Walau terkadang hatinya terguris...
Tapi harus kau fahamkan dia...
Kita semua terlalu rapat...

Jangan hilang ya wahai teman...
Jangan pernah sekalipun berubah...
Kita ini tiada apa jika berpisah...
Biarpun cuma berempat...
Itu sudah cukup dari berjuta yang berpura...

Aku sayang kalian.

Khamis, 25 Jun 2009

kekasih derhaka

kalau tak nampak klik pada gambar ye...
konon-konon nak bagi cantik letak pada gambar..tapi jadik kecik pulak tulisan aku ni...







aku kembali

maaf buat teman-teman...
terlalu lama rasanya aku menyepi...
aku pulang ke kampung halaman...

bercuti...
bercuti dari segala sesak didada,dikepala dan semuanya...
dan kini aku kembali...

berita baik yang menyambut kepulanganku...
3.5 itu pencapaian kali ini...
hajat untuk 4flat belum lagi tercapai...

terima kasih tuhan...
aku sayang kamu...

Sabtu, 6 Jun 2009

teguhkan hati...

hidup memang sesuatu yang mencabar.terlalu subjektif kalau nak dihuraikan satu persatu.

ada yang celik saja mata sudah nampak kesenangan dan ada juga yang celik saja mata menangis meraung minta dikembalikan kepada tuhan semula.menyesal dilahirkan kedunia.~mungkin~

tapi ada satu perkara yang penting dalam hidup ini sebenarnya.hati yang teguh!

pelajaran terbaik itu datangnya dari jalanan.semakin jauh perjalanan semakin banyak yang kau pelajari.aku sedang berbicara tentang pengalaman.

bukan mahu mengatakan bahawa pelajaran itu tidak penting.pelajaran itu penting untuk kerjaya masa hadapan.aku sendiri masih tidak henti menuntut ilmu yang tidak tahu mana penghujungnya nanti.

hidup ini kita jalani atas dasar pengalaman.kenapa orang-orang tua lebih bijak dalam menguruskan hal kehidupan sedangkan mereka itu tidak berpelajaran tinggi dan ada juga yang lansung tidak pernah bersekolah.semuanya kerana pengalaman.

berbicara tentang hati yang teguh,hidup ini perlu hati yang teguh.berani untuk berdiri teguh dengan apa yang kau percaya.

andai kau mahu jadi doktor,belajar sampai berjaya...
andai kau mahu jadi pemuzik,main sampai terkenal...
andai kau mahu jadi gangster,gangster sampai mati...

nampakkan contoh itu...?

jangan terlalu rapuh dalam hidup.sentiasa goyah dengan cabaran..akhirnya kau akan tumbang.

aku bercakap atas dasar seseorang yang pernah jatuh sebelum ini.kerana terlalu membiarkan hidup kosong akhirnya aku sendiri tercari-cari dimana aku telah dilayangkan.

okay kawan-kawan,rasanya macam terlalu formal pula entri kali ini.harap dapat masej yang cuba aku sampaikan.hidup ini memang mencabar ataupun lebih senang kita katakan sebagai palat.jadi,teguhkan hati ya kawan-kawan =)

hidup...
seringkali aku tumbang keranamu...
kerana terlalu percaya...
kerana terlalu lemah...
kerana terlalu rapuh...
aku sering menjadi mangsa.

hidup...
apa kau hanya untuk menyakiti...?
kenapa kau sering memberi rasa kehilangan...?
tidakkah kau tahu bahawa kehilangan itu perit...?
sakit itu kau berikan rasa yang terlalu lama...
dan indah itu kau biarkan terlalu cepat berlalu...
aku penat.

hidup...
kini aku tahu mana silapku...
aku bangun menyusun langkah berbatu...
aku teguhkan hati...
aku tegarkan jiwa...
aku bukakan mata...
dan kini aku nampak sesuatu...
ada bintang dihujung sana.

Khamis, 4 Jun 2009

naga pertiwi

selagi ada terik mentari...
selagi damai bulan dan bintang...
tiada kata merubah jiwa...
tiada laku merubah rasa...

teguh jiwa bawa bersama...
teguh hati bawa ke mati...
biar darah mengalir membasahi...
sekali berjanji takkan mungkiri...

dahulu kecil kini kepala...
dahulu ikan kini kau naga...
biar ikan ataupun naga...
manusia itu kan asalnya sama...

duhai naga tinggi diatas sana...
lebarkan sayap teduhkan segala...
tapi andai hanya gah pada nama...
apa gunanya kan?tanggalkan saja...
sembunyi selamanya...

selagi ada terik mentari...
selagi damai bulan dan bintang...
segala perilaku demi pertiwi...
segala tentang tidak akan goyang.

Isnin, 1 Jun 2009

satu suara

duhai anak bangsa...
tiupkan semangat kedalam jiwa...
jangan beralah sebelum mencoba...
depangkan  dada tanda perkasa...
biar guruh biar kilat seperti tiada apa...
nikmat terindah kita genggam bersama.

Khamis, 28 Mei 2009

ada benci dalam senyum

Tak sabar nak habiskan semester ini.Cuma semester pendek yang banyak mengajar aku untuk membenci dalam senyum.Belajar menjadi hipokrit barangkali.

Dalam ramai yang ku kenal hanya seorang berhati manusia aku kira.Yang lainnya?Saat aku diperlukan untuk menjadi tutor mereka barulah wujud aku dimata mereka. 

Bengangnya bila mereka tetap salah dalam ujian,aku pula dikata penyebabnya.Hey bodoh! kalau bukan aku yang ajar,kau lansung tak tahu apa-apa.

Isnin depan peperiksaan akhir bermula.Semoga ilmu yang kita kongsikan itu ada berkatnya.Semoga cemerlang kawan-kawan.

Tapi aku masih ralat sebab tiket hari bintang jatuh hujung minggu ni dah habis.*dem*

mencari teman

mana kamu semua menghilang?

aku sunyi sendiri...

hanya kerana kini aku tidak berpangkat,tidak mewah seperti dulu kamu semua pergi?

jatuh aku akan bangun lagi.

atau kamu benar-benar sibuk dengan dunia kamu?

jadi seperti yang aku kenal dulu ya...susah senang kita satu.

aku rindu saat itu

Selasa, 26 Mei 2009

berbicara soal bahagia...

Sudah agak lama rasanya aku tidak berceloteh panjang yang entah siapa mahu membacanya.Hanya puisi-puisi yang mungkin begitu rendah nilainya yang aku persembahkan disini.Tapi itu apa yang jiwa ini rasa.MUngkin rendah buat kamu tapi tinggi bagi aku.Aku bahagia disitu...aku lega disitu walau rasa itu hanya seketika.

Ya,bicara tentang bahagia...dimana bahagia itu sebenarnya???Pada duit yang melimpah ruah,cara hidup,teman-teman ataupun dimana ya?Aku selalu buntu bila berfikir dimana bahagia itu sebenarnya.Bila yang aku ceritakan semuanya sedih,teman-teman bertanya : "Dalam hidup kau takkan tak ada lansung gembira?"*senyap*

Kawan-kawan,jangan kau salah ertikan bahagia itu.Bersama teman-teman,bergelak sakan,berhabisan duit membeli pakaian dengan hidup yang mewah itu belum tentu menjamin bahagia sebenarnya.Aku pernah rasa semuanya...mungkin umur ni kau kata baru nak kenal dunia tapi tanggungjawab dibahu ini lebih dari apa yang kamu pikul pada umur aku.Bahagia itu terlalu subjektif...mungkin jika begini kamu akan berasa bahagia tetapi tidak aku dan juga sebaliknya.

Kembali pada zaman kecilku...aku hanya seorang budak yang tidak banyak bercakap dan lebih suka bersendiri,melukis dan menulis ayat-ayat yang aku rasakan indah tetapi aku sendiri tidak mampu memahaminya.Waktu petangku dihabiskan dengan mengayuh basikal buruk sambil melihat indahnya matahari yang menyinar.Bantal tidurku setiap malam kubasahi dengan air mata mengenangkan peritnya hidup ketika itu.Tiap hari aku berkata pada matahari : "cepatlah berlalu,aku ingin jadi besar.Akan aku ubah hidup ini."

Menyentuh soal keluarga,aku sangat kagum pada cinta ayahanda dan bonda yang aku panggil Bak dan Ibu.Cinta antara dua dunia yang nyata berbeza.Bak pada ketika itu hanya buruh di JKR kerana lansung tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah atas masalah kewangan keluarga.Bekerja dari awal 9tahun untuk membantu keluarga dan menyekolahkan adik-adik.Sungguh besar pengorbanan itu.Ibu pula orang bandar yang cukup serba serbi untuk menikmati hidup dengan indahnya.Cerita mengenai bagaimana cinta itu berputik biarlah menjadi kenangan manis buat mereka.Tapi apa yang mengagumkan aku ialah ibu sanggup meninggalkan kemewahan dunianya semata-mata untuk bersama orang yang dicintainya.Kalau kita sudah sayang,kita akan lepaskan semuanya hanya untuk dia kan?Ya..aku menurun sifat itu.Yang menyedihkan,ibu seolah-olah dibuang keluarga hanya kerana berkahwin dengan si miskin yang tidak berpelajaran.Buat mereka yang kaya diluar sana...harta itu tidak akan mampu membeli tulusnya jiwa.

Atas sebab keluarga ibu yang sentiasa memandang rendah pada Bak walau bermacam yang dilakukan untuk menjaga hati mereka,aku menjadi seorang anak yang begitu pendendam.Bak tetap tenang walaupun sedar hadirnya dia lansung tidak dihargai.Pada ketika itu aku bencikan mereka yang kaya.Pada aku semua orang kaya itu sama.Semuanya keji.Terlalu sempit pemikiran aku masa itu.Hinggakan pabila teman-teman bertanyakan tentang keluarga ibuku,aku katakan bahawa ibuku anak yatim piatu...Atuk dah mati!!!Pernah sekali mereka datang untuk menjenguk ibu (sambil memerli-merli hidup kami)..ditanganku sudah ada kayu yang hanya menunggu masa untuk aku hentakkan pada kereta mewah mereka.Jiwa aku penuh dengan kebencian ketika itu.Tapi ibu dan bak???Hanya tersenyum disindir sinis...mungkin kerana mereka matang dan bahagia dengan hidup yang sedang kami lalui bersama.Ya,kami bahagia walaupun ketika itu semuanya hanya cukup-cukup makan.

"Orang kampung apa tahu???Setakat nak kira syiling boleh la..."

Kata-kata itu takkan aku lupakan sampai bila-bila.Sekarang kami adik-beradik sudah buktikan yang kami simiskin yang kau hina dulu juga mampu belajar tinggi dari cucu-cucu kaya yang kau sayangi itu.Aku dendam.

Tinggalkan perihal keluarga hanya disitu.Kalau disambung,berhari-hari belum tentu habis untuk aku ceritakan.*perit*

-------------------------------------------------------------

Soal pergaulan pula aku lebih suka bersendiri.Mungkin lebih tenang aku rasakan jika hanya aku ada dalam duniaku.Ya,aku bahagia begitu.Aku tidak pandai untuk berteman.Bukan kerana sombong tapi kerana aku terlalu tulus jika berkawan.Kalau benci akan aku katakan benci tanpa aku sedari semua itu bisa mencalarkan hati mereka.Bila aku sayang aku menjadi terlalu protektif...sakit yang mereka rasa akan aku rasa juga.Mungkin kerana itu aku menjadi seorang yang tegas dalam berkawan.Hipokrit bukan sifatku.Kalau yang dilakukan itu tidak betul akan aku katakan terus padanya bahawa itu tidak betul.Ramai menganggap aku memilih kawan tapi bukan itu hakikat sebenarnya.Jika kau menagih dadah,berlumba haram...bukan itu alasannya untuk kita tidak mampu menjadi teman.Aku mencari teman yang jujur yang mampu ada ketika aku susah dan senang seperti apa yang akan aku lakukan pada kalian juga.

Tipu jika aku katakan cinta itu tidak pernah hadir dalam hidupku.Tapi apa yang ada hanya indah seketika.Seharusnya aku membenci kerana aku ditinggalkan pada hari kelahiran setelah ucapan selamat hari lahir aku terima.Hari yang seharusnya gembira aku rasakan begitu gelap dan sunyi.Tiada apa yang mampu aku katakan.Hanya merelakan apa yang dipinta sambil aku melinangkan air mata yang aku sembunyikan dalam keegoanku.Aku berpura-pura okay seperti seorang lelaki yang sangat cool.Hipokrit aku ketika itu.Keputusan yang terlalu kejam aku kira dari seorang perempuan yang aku agungkan.Kenapa tidak kau pilih hari lain untuk menyakitiku?Kenapa kau pilih hari yang akan aku ingat sampai bila-bila saat jiwa ini kau tanamkan sedalam tujuh lapisan bumi.Sejak itu aku bencikan hari kelahiranku.Terlalu kejam tetapi aku tidak mampu untuk membenci kamu.Alasan-alasan yang kamu berikan pada ketika itu seperti hubungan ini haram,kau tidak mampu membahagiakan aku kerana kita berjauhan itu aku kira tidak logik.Kenapa kini kau berpacaran dengan orang lain?Tidak haramkah hubungan itu?Kau tinggal berdekatan dengannya kah?Jangan tipu aku...aku kenal lelaki itu.Aku tahu mana tempat tinggalnya.Lebih jauh jaraknya dari kita berdua.

Aku benci bila kau katakan tak mahu berhubung lagi.Aku mencari jawapan kenapa kita hanya separuh jalan sedang aku ketika itu sedang memperbaiki diri.Bukan meminta simpati untuk kembali seperti dulu.Salahkah kalau berteman saja???Lelaki itu juga kawanku.Kenapa mahu sembunyikan hubungan kamu?Takut aku menjadi seperti dulu?Melepaskan marah dengan memukul sepuas hati.Jangan silap tafsirkan...yang aku pukul itu mereka yang mencuri.Aku bencikan pencuri.Sedang aku simiskin ini juga tidak mencuri..kenapa mereka mahu mencuri hak orang lain?Bukan mahu mengganggu dunia indah kamu berdua tapi cukup sekadar kita semua berteman seperti waktu mula-mula kenal dahulu dan aku mahukan jawapan atas setiap alasan sewaktu kau tinggalkan aku.Cukup setakat itu.Tiada apa yang kamu berdua perlu risaukan.*jujurlah*

Sayang itu tidak semestinya akan bersama.Aku terima itu.Tiap hari aku minta pada Tuhan agarkan hilangkan rasa itu.Berikan aku benci,berikan aku ego agar aku dapat hidup sendiri.Aku lelaki perlu kuat.Tanggungjawab yang aku pikul itu lebih berat.Soal perasaan itu minta diketepikan.Aku masih ada mentari senja,masih ada bulan bintang dan langit malam yang sudi mendengar setiap cerita aku.Aku juga bahagia begitu walaupun kadang-kadang itu sunyi kerana aku hanya bercakap sendiri.*Diam*

Buat teman-teman diluar sana,ingin aku sampaikan apa yang aku rasa tentang bahagia.Bahagia itu ada pabila kalian menjadi diri sendiri.Tiada hipokrit dan penuh dengan jujur.Jangan diikut mereka semua.Kita punya karekter sendiri dan masing-masing juga punya harga sendiri.Harga itu kau yang tentukan.Buat apa kau mencari pasangan hanya kerana mahu dilihat setanding dengan teman-teman mu yang semuanya sudah mempunyai pasangan?Buat apa kau gadaikan tudung itu hanya kerana takut si lelaki itu lari meninggalkan kamu kerana tidak dapat meraba?Buat apa kau joli sana sini hanya kerana tidak mahu dilihat kolot dan kampung?Itu apa yang aku lihat sekarang ini.Manusia suka bertopeng.Percaya bahawa nikmat yang terindah itu memang sukar untuk kau kecapi.*Fikir*

Terlalu jauh rasanya aku berbicara.Mungkin sudah terlalu sendat dan muak kalian rasakan.Tapi ini duniaku dan sekali lagi aku katakan aku bahagia begini.Bahagia kamu bagaimana?Carilah..pasti ada.. *senyum*

Jumaat, 22 Mei 2009

Abstrak Jiwa mempersembahkan Potret mati


ku tahu berat bebanmu... 
membesarkanku,menyenangkanku... 
ku tahu kasih sayangmu... 
takkan pernah luntur walau ku menjauh...  

ku ingin peluk belaimu... 
juga senda mu walau ku tak mampu... 
dan aku mahu kau tahu... 
walau ku nun jauh kau tetap ku tunggu...  

simpan semua memori... 
senyuman kekal abadi... 
jangan tangisi ku lagi... 
tempatku bukan disini...  

pergi aku dari sini... 
bukan salah kamu..bukan salah kamu... 
walau mati ku ini menyiksakanmu... 
jangan kau membatu...


*Nukilan buat ayahanda dan bonda yang kelihatan sangat kecewa 
dengan jatuhnya aku sebelum ini

Rabu, 20 Mei 2009

Keliru-Hari Bintang Jatuh 09


Kesempitan masa cukup membuatkan aku buntu...

Antara keseronokan dan masa depan benar-benar menghimpit jiwa ini...

Aku inginkan kejayaan dan aku juga inginkan keseronokan...

Persembahan yang ku nanti selama ini hingga terbawa ke dalam mimpi..(senyum sendiri)

Tapi mungkin akan terkubur kerana masa depan yang ku kejar...

Aku tak mahu terlepas kedua-duanya

Aku nak pergi tengok Hari Bintang Jatuh 09- 3Venus !!!


Isnin, 18 Mei 2009

Ketika ini...

Buat teman-teman sepenulisan,jutaan maaf aku pohon...
Masa terlalu mencemburui aku sekarang...
Bukan kerana tiada lagi minat untuk menulis...
Bukan kerana sudah tiada apa untuk aku kongsikan...
Bukan kerana sudah tidak memerlukan kalian...
Tapi terlalu sukar untuk aku carikan ruang seperti dulu bersama kalian.

Buat sahabat-sahabat yang tidak henti-henti berkunjung kesini,terima kasih kerana masih lagi mengingati aku.Mungkin jemu itu sudah mula menebal dalam jiwa kalian..Datang saja entri yang sama..datang lagi masih entri yang sama..bosan!!!!

Minat pada seni itu masih ada dalam diri ini..muzik,puisi,penulisan...semuanya masih seperti dulu.Kalau dulu banyak masa dan ruang untuk aku berada dihadapan laptop ini untuk menziarahi teman-teman sepenulisan tetapi sekarang ini terpaksa memilih sedikit demi sedikit untuk diziarahi.Tidak mampu untuk menziarahi semuanya dalam satu masa lagi.

Pelajaran dan kerja demi mencari sesuap nasi banyak mengajar diri ini...masa itu terlalu bernilai sekarang..kalau dulu orang katakan masa itu emas...sekarang ini aku rasakan masa itu lebih berharga dari emas...mungkin kerana aku ini yang sulong dan tidak mahu untuk menyusahkan keluarga..jadi aku harus usahakan semuanya sendiri...berbaloi rasanya kerana ini adalah hidupku dan aku yang harus menentukan mana arah tujunya.Biarpun kadang-kadang rasa terlalu letih tetapi aku puas dengan apa yang aku usahakan sekarang.

Untuk mereka yang terlepas untuk membaca entri yang sebelum ini...boleh klik dari sini saja...Kembalikan Jiwa Itu...sebuah entri yang aku rasakan cukup jujur dari dalam yang sudah lama terpendam.

Jumpa lagi dalam entri yang akan datang...

Ahad, 10 Mei 2009

Untukmu ibu

Buat ibu...
Jutaan syukur kerana melahirkan along...
Kata yang terindah juga tak mampu meluahkan rasa ini...
Semoga bahagia selalu...
Sayang selamanya.

Isnin, 27 April 2009

Kembalikan jiwa itu...

aku ini sepi orangnya...
aku ini jarang bersuara...
aku ini kau lihat kusut sentiasa..
aku ini menyimpan seribu duka...

bulan bintang dengarkan aku ingin bicara...
hanya kau teman cerita...
tidak lepa walau aku berduka...
harap terlepas sebak didada...

Tarikh itu aku dilahirkan...
Pada tarikh itu juga aku dimatikan...
hari yang sepatutnya berkuntum senyuman...
kau tukar menjadi mimpi gelap sepanjang zaman...

sejak itu setiap tahun aku bencikan tarikh itu...
tarikh dimana kau benam jiwaku sedalam tujuh lapisan bumi...
tarikh dimana hati ku kau bunuh dan campakkan ketengah laut...
tarikh dimana hidupku mula lepasi dalam mati...

ya aku tahu kita ini banyak bezanya...
kau itu malaikat dan kau lah langit...
aku ini cuma iblis dan bumi yang kontang...
aku dipesta muzik sedang kau bernasyid...

tapi jiwa itu tidak wujud dimata sayang...
pandang jiwa itu jauh kedalam hati...
rasa itu tidak punya bahasa untuk bicara...
kalau kau bunuh semuanya, apa yang aku ada???

kasihan aku pada gadis itu...
berkorban semua demi aku sedang aku asyik bercerita tentangmu...
dan aku sedih bila dia juga sedar...
dimataku tidak pernah ada dia...

ku lepaskan dia...
ku lepaskan semua...
hanya kerana jiwa...
hanya kerana hati...mati...

aku ini bukan mengejar sempurna...
aku ini bukan mengemis cerita lama...
aku ini minta dikembalikan...
hidupkan apa yang kau matikan...
biar aku dapat terus berjalan.



Rabu, 22 April 2009

Sepi si anak kecil...

Assalamualaikum....

Hari-hari makin terisi dengan kelas,assignment,kerja sambilan sampai kadang-kadang terasa penat nak mengharungi semuanya...

Buat sahabat-sahabat yang rajin datang membaca disini,terima kasih ambo ucapkan.Apa yang ambo tuliskan disini adalah apa yang benar-benar ambo lalui dalam hidup ini...Mungkin tidak berapa mencabar seperti apa yang sahabat-sahabat semua lalui.

Pada kali ini,apa yang ambo tuliskan hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kene mengena dengan hidup ambo...Maaf jika ada kekurangan kerana ambo masih lagi baru dalam dunia penulisan...
Sepi si anak kecil

Anak kecil itu menangis sendiri...
Meratapi pemergian wanita bergelar ibu...
Jasad kaku itu ditenung sepuas-puasnya..
Jemari sejuk itu diusapnya...
Dahi suci itu dikucupnya...
Air matanya tidak henti-henti mengiringi pemergian si ibu itu...

Seribu rasa terbuku di hati...
Seribu pertanyaan...
Seribu kekecewaan...
Seribu kesedihan...
Seribu kekosongan yang tidak bisa di isi...

Anak kecil itu berteriak sendiri...
Kenapa mesti aku...?
Kenapa pada ketika ini...?
Kenapa bukan mereka yang tidak sayangkan ibu mereka...?
Hatinya luluh bagai tidak mampu diubati lagi...

Kini anak kecil itu tiada lagi tempat bermanja...
Tiada lagi tempat bergurau senda...
Hilang pendengar setia...
Hilang insan yang sanggup melayan kerenahnya...
Hilang insan yang sanggup menahan marahnya...
Hilang insan yang sanggup mereda barannya...

Desis angin pantai sering menjadi temannya...
Buaian ombak menenangkan fikirannya...
Dugaan itu terlalu berat buatnya...
Dugaan besar buat si anak kecil yang baru berusia 7 tahun..
Hmmmpphhh...

20 tahun berlalu begitu pantas...
Bagaikan sang masa itu tidak sanggup membiarkan anak kecil itu menderita terlalu lama...
Perjalanan sepi tanpa insan bergelar ibu...
Kegagalan mahupun kejayaan dilaluinya sendiri...
Membuatkan dia lebih matang dari umurnya...

Ibunya pasti bangga jika berada disisi pada ketika ini...
Kini anak itu orang yang berjaya...
Tiada lagi bermuram durja...
Tiada lagi kusutnya...
Hanya senyuman manis diwajahnya...
Doanya buat si ibu semoga aman disana.




Khamis, 16 April 2009

Gadis Itu...

Gadis itu kulihat begitu suci...
Wajah manisnya menyejukkan hati...
Kesejukan yang bisa membuatkan hati menjadi lulur...
Pertuturannya sopan...
Perlakuannya santun...
Senyumannya begitu anggun...
Sudah cukup untuk menawan lelaki yang hanya memandang luarannya...

Aku ingin mendekati gadis itu...
Ingin aku kenali dalamannya...
Tapi aku ini terlalu kecil...
Aku hanya si miskin yang tidak punya apa..
Jangankan wang...
Kawan-kawan juga aku tidak punya...
Hari-hari ku banyak bersendiri...
Sendiri kerana aku tidak punya siapa disini...

Hari berganti hari...
Aku masih disini...
Menjadi pemerhati paling setia...
Walau tidak ada sekelumit balasan sekalipun...
Hati ini tetap tersenyum sendiri...

Langit malam...
Bintang bulan...
Teman setia mendengar isi hatiku...
Aku luahkan semuanya...
Aku ceritakan pada-NYA dalam amal wajibku...
Suasana sunyi sepi...
Hati ini tenang...

Dan pada suatu hari...
Hati ini bagaikan disentap-sentap...
Bagaikan ditusuk-tusuk...
Bagaikan disiat-siat...
Aku kecewa...!!!

Gadis itu bukan sesuci yang ku sangka...
Tinggalnya bersama teman lelaki yang belum dinikahinya...
Waktu malamnya dihabiskan di rumah-rumah syaitan...
Pakainya seperti mahu mendedahkan apa yang ada...
Peluk,cium itu menjadi perkara biasa...
Sucinya hanya diluar...
Dalamnya penuh kehitaman...

Terima kasih Tuhan kerana jadikan aku begini...
Dan aku lebih senang begini...
Menjadi si miskin yang dipandang hina...
Dari lemas dalam pelukan duniawi
Seperti gadis itu...







Rabu, 1 April 2009

Diri kau Sendiri

Assalamualaikum....

Melihat pada tajuk post kali ini mungkin ramai yang tertanya-tanya.Bunyinya agak kasar kalau dibaca dengan nada yang ingin ambo sampaikan sebenarnya...

Diri kau sendiri....
Cuba kau jadi diri kau sendiri...
Jangan kau tiru mereka itu...
Kerana itu adalah diri mereka...
Dan kau pasti ada watak sendiri...

Jangan kau tiru gaya mereka...
Jangan kau tiru lagak mereka...
Jangan kau tiru pertuturan mereka...
Kerana itu adalah mereka...

Kau...
Kau bina diri kau sendiri...
Jadikan mereka hanya rujukan...
Rujukan untuk kau lebih kedepan...
Bukan untuk ditakuk yang sama...
Bukan menjadi plastik yang dijaja...

Jika...
Jika kau menjadi mereka...
Semuanya takkan kekal lama...
Kerna itu bukan jiwamu...!!!
Bukan jiwa yang ikhlas...!!!
Bukan jiwa yang kau mahu...!!!
Akihirnya nanti...
Kau pasti tersungkur jua...


p/s: buat mereka yang terikut-ikut dengan orang lain.


Pesanan buat kawan-kawan seperjuangan dulu:

Kalau korang baca entry ni....ada sesuatu yang aku nak sampaikan..

Mungkin aku pernah buruk perilakunya sebelum ini...
Mungkin aku ini tidak sebaik kamu semua...
Mungkin aku ini keji dahulu...
Mungkin aku tidak sesuci kamu...
Tetapi aku tidak bertopeng seperti kamu..
Dan aku...
Aku tidak pernah menyusahkan kamu...
Aku tidak pernah memburukkan kamu...
Aku tidak pernah menghina kamu...
Aku tidak pernah mengata dibelakang kamu...
Walau sebenarnya kamu itu lebih keji dari aku

Selasa, 24 Mac 2009

Gloomy Sunday Pembunuh???

Assalamualaikum...

Sedang ambo asyik bermain gitar (lagu Nymphetamine) tadi..sahabat ambo bertanya...

" Nak denga lagu orang bunuh diri tak???"

Bulu-bulu roma tengkuk ini tiba-tiba berdiri...
Bukan kerana sejuk...
Tetapi terasa seperti terkena kejutan elektrik...
Lagu yang boleh buat orang bunuh diri???
Kau memuja syaitan didalam lagu???
Pelbagai persoalan timbul...
Aku teruja tetapi ada sedikit curiga disitu...

Gloomy sunday tajuk lagunya...
Lagu yang telah mengorbankan banyak nyawa...
Dengan susunan kord yang seperti tidak logik...
Mungkin tidak dapat diterima telinga..
Penuh celaru...
Penciptanya juga tidak terlepas dari menjadi mangsa bunuh diri...

Aku dengarkan lagu itu berulang kali...
Bukan yang dinyanyikan orang laen..
Tetapi yang dinyanyikan pencipta asalnya..
Aku cari liriknya..Tidak paham (bkn bahasa inggeris)
Aku cari maksudnya...
Aku denga sambil baca liriknya...

Dari penyampaiannya...
Penuh dengan sedih...
Penuh dengan kecewa...
Penuh dengan penyesalan...
Memang sampai masejnya

Tetapi aku terfikir...
Adakah kerana lagu,ramai yang membunuh diri...
Adakah kerana mereka terlalu menghayati...
Atau kerana mereka yang bodoh...
Kerana membiarkan jiwa itu kosong...
Bisu...


Ini link untuk video klip lagu Gloomy Sunday :
http://www.youtube.com/watch?v=_Qaa4GDBr0k&feature=related

Kat sini boleh dapat info pasal lagu ni :
http://www.phespirit.info/gloomysunday/

Isnin, 23 Mac 2009

Hari Yang Berlalu

Hari-hari yang berlalu...
Semua yang cuba kutempuhi...
Walaupun adakalanya tersungkur sendiri...
Kerana kejayaan itu sering bersembunyi...

Celahan insan-insan yang bisa melekakan...
Menenggelamkan lagi kejayaan yang semakin pudar...

Kerenah yang semakin menyerlah...
Dengan hati yang semakin parah...
Terasa pedihnya bagai disiat-siat...
Dan dagingnya diratah dengan rakus...

Harapan menggunung yang terpaksa ku pikul...
Laratkah jasad ini untuk mendukung semua???
Terkadang seperti mahu saja pergi dari dunia ini...
Tetapi aku tidak mahu tewas sebelum masanya!!!

Ada masanya tatkala sepi...
Aku juga perlukan perhatian,belaian,sapaan dan semuanya...
Seperti insan-insan yang bernama manusia...
Tetapi hanya bulan,bintang dan langit juga yang setia bersama...

p/s: buat sahabat-sahabat yang terasa seperti tidak mampu untuk hidup didunia.

Rabu, 18 Mac 2009

Ambo dimasa ini...

Assalamualaikum semua....

Terasa seperti berbuku-buku rindu didalam hati ini untuk menulis tetapi idea-idea indah tidak juga kunjung tiba.

Lagu-lagu ambo ada yang sudah menanti untuk ke studio dan ada juga hanya terngiang ditelinga tanpa lirik yang menghiasi seni itu agar menjadi lebih indah.

Dan sekarang ini ambo seperti menjadi peminat fanatik Fynn Jamal...Bukan kerana dia seorang perempuan (sudah jadik isteri orang dah pon) dan juga bukan kerana suaranya tetapi kerana hasil seninya terlalu ikhlas sehingga jika dihayati akan mampu membuatkan air mata seorang lelaki juga jatuh menitis membasahi bumi.

Seperti katanya..dia hanya seorang penyair yang suka menyanyi..jadi jangan dengarkan suaranya..dengarkan rasa...Selamat menghayati

Rabu, 11 Mac 2009

Tag dari rakan untuk kita

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian...


Sudah agak lama rasanya kita tidak ketemu.Pada kali ini ambo ingin menjawab tag yang diberikan oleh rakan sekelas ambo semasa disekolah dahulu.Rasanya agak berguna juga tag2 ini sebab bila diingat kembali kebanyakan dari sahabat-sahabat yang ambo kenal disini bermula dengan permainan ini juga.

Tag ini datang nya dari Permata Nusantara

Peraturan bagi menjawab tag ini adalah seperti berikut:

A)Letakkan lencana yang telah disediakan di Blog
-Saya kurang faham tentang ini...maaf ya (^_^)


B)Ceritakan tentang pemberi anugerah dan buat pautan

-Saya dan Permata Nusantara belajar di dalam kelas yang sama di Maktab Rendah Sains Mara Mersing, Johor.Ya...kami memang jarang bertegur sapa kerana ambo mengalami masalah malu untuk berbual secara depan-depan dengan perempuan.MUngkin kerana sebelum itu ambo bersekolah di sekolah yang kesemua pelajarnya adalah lelaki.Permata Nusantara mempunyai kembar yang belajar dikelas yang berlainan.Ambo sering terkeliru yang mana satu adalah rakan kelas ambo kerana namanya pun ambo susah nak ingat.Sesi persekolahan hanya berlansung begitu sahaja dan masing-masing mengejar cita-cita masing-masing.Tidak banyak yang mampu ambo tuliskan disini kerana ambo tidak berapa mengenali dia..(tula,sape suruh susah nk tegur orang laen dulu)..Tapi apa yang ambo tahu..Permata Nusantara ini berkawan baik dengan orang yang ambo anggap istimewa dalam hidup ini.

C)Nyatakan 10 hobi /fakta tentang diri sendiri

1. Sejak kecil ambo memang meminati gitar.

2. Mula bermain bersama geng kugiran rumah orang kawen sejak berumur 6 tahun

3. Minat pada kelajuan

4. Seorang yang sangat ego suatu ketika dahulu

5. Sukar untuk mengingat nama dan tarikh

6. Banyak menulis ketika sendiri

7. Adik bongsu ambo adalah nyawa ambo

8. Suka kepada gambar

9. Cucu lelaki sulung belah mak dan ayah

10.Keluarga no.1


D)Seperti biasa, tag orang lain pula

  1. along arman
  2. amusy
  3. atie
  4. zhoewynz
  5. Dan semua sahabat-sahabat yang membaca (xlarat nak tulis semua)

Rabu, 18 Februari 2009

Kepulangan

Assalamualaikum semua...

Jutaan terima kasih buat sahabat-sahabat yang tidak henti-henti mengunjungi blog ambo dan meninggalkan pesan walaupun ambo kekurangan waktu untuk mengunjungi anda semua kembali.Maaf dipinta kerana terdapat sedikit kesulitan secara peribadi yang terpaksa ambo lalui sehingga membuatkan ambo membuat keputusan untuk berehat seketika dari berblog.Dan kini..ambo akan kembali berblog seperti biasa..insyaallah.

Tidak banyak yang ingin ambo kongsikan pada kali ini.Memandangkan kesihatan yang seperti tidak mengizinkan..sudah seminggu lebih ambo demam.Ubat sudah ditelan cuma penyakit yang tidak mahu pergi lagi.Mungkin terlalu banyak dosa kecil yang harus dihapuskan melalui sakit pada kali ini.

Untuk pengetahuan semua..ambo telahpun menyiapkan 5 buah lagu untuk band ambo rekodkan nanti.Tetapi agak mendukacitakan kerana ambo terlewat sedikit dari waktu yang sepatutnya.Niatnya mahu disiapkan sebelum Syuk pergi ke Australia supaya Syuk boleh bermain drum untuk lagu-lagu tersebut.Nampaknya sekarang ambo terpaksa mencari pengganti kepada SYuk pula.

Hari-hari yang dilalui mengajar ambo untuk berfikir secara lebih matang.Jangan takut untuk balik ke pangkal jalan andai kita seperti sudah tersasar dari jalan yang sepatutnya.Hidup ini akan sentiasa penuh dengan dugaan..

Rabu, 28 Januari 2009

Coretan cuti

23 Jan 2009...

Bertolak pulang ke kampung halaman bersama-sama dengan bue dan faiz (bekas rakan seperjuangan di sekolah dulu). Rindu rasanya pada kampung..Aidilfitri yang lepas adalah kali terakhir ambo pulang ke kampung.Sudah agak lama tidak bertemu dan bersua muka dengan ahli keluarga di rumah.Pasti mereka juga merindui ambo (chewahh..perasan pulak). Jam 2 pagi ambo tiba di highway Ayer Hitam.Kami bertiga mencari kedai makan sementara menunggu Ajis yang akan tiba dari Skudai.Belum pun sampai setengah jam kami melabuhkan punggung di kerusi,orang tua ambo dah sampai untuk menjemput ambo pulang.Terasa seperti benar-benar disayangi...

24 Jan 2009...

Celik saja mata,hanya satu yang ambo pikirkan...sahabat-sahabat karib ambo dah selamat sampai ke belum..kali ni Pie dan Nazri saja yang dapat balik.Nizam dimamah kesibukan di tempat kerja sampai tidak mampu melepaskan diri untuk balik ke kampung.Pada malamnya kami berbincang...(cehh..bincang apenyer)..tentang sesuatu akiviti yang mudah tapi menyeronokkan.Jadi kami mengambil keputusan untuk pergi berkelah...pantai pun tidak lah jauh sangat dengan rumah.Barang-barang untuk berkelah seperti tikar,alat untuk memasak pun semuanya sudah ada..jimat kos

25 Jan 2009...

Jam 8.30 pagi kami bertolak dari rumah.Mengikut perancangan sepatutnya bertolak pada jam 7.00 pagi kerana kami perlu ke pasar dulu untuk membeli bahan-bahan untuk memasak.Tetapi disebabkan Nazri mempunyai urusan keluarga yang harus diutamakan dahulu..kami bertolak lewat sedikit.Rupa-rupanya ada pertandingan memancing disitu..nasib baik lah port kami tak dikacau..apa yang mampu dikatakan disini,apa yang kami lalui pada hari itu memang menyeronokkan..seperti melepas rindu pada sahabat yang telah bertahun tidak ditemui.

Pada sebelah malamnya kami bertiga pergi menonton filem MAUT...sebuah filem yang penuh dengan mesej yang disampaikan secara tersirat.Bagi yang hanya menonton,keinsafan akan terasa.Tetapi bagi mereka yang menonton dan memahami mesej yang ingin disampaikan,akan terasa seperti diri ini terlalu kecil dan tidak berkuasa untuk melakukan sesuatu.Insaf dan juga terlalu takut untuk membuat kesalahan(dosa)...

26 Jan 2009...

REUNION!!!...berat benar kaki ini untuk pergi ke reunion pada kali ini.Reunion dengan rakan-rakan sekolah rendah yang telah lebih sepuluh tahun tidak berjumpa.Masing-masing sudah mempunyai pekerjaan yang bagus-bagus.Terasa bangga kerana mempunyai kawan-kawan yang pandai menguruskan hidup.Aktiviti kami pada hari itu cuma makan dan bowling...ringkas tetapi sudah memadai dengan sesuatu yang tidak dirancang dengan lebih awal.

27 Jan 2009...

Pagi-pagi lagi ambo dah bangun untuk mempersiapkan motor yang akan dibawa pulang ke KL..servis apa yang patut untuk selamat sampai.2 buah motor kali ini..ambo dan Nazri masing-masing menunggang motor untuk balik ke KL.Terasa lenguh juga pinggang...Kami singgah sebentar di Port Dickson untuk melawat Nizam yang tidak dapat pulang cuti Raya Cina.Berita di kaca televisyen menyatakan bahawa tentera Israel telahpun mencabuli genjatan senjata yang ditetapkan.Sesuatu yang telahpun ambo jangkakan dari awal lagi.Perjalanan diteruskan sehinggalah kami selamat sampai kerumah masing-masing di ibu kota yang sesak dengan pelbagai ragam manusia...

Kuala Lumpur....aku kembali lagi