Sabtu, 8 Disember 2007

melayu___usman awang



melayu itu orang yang bijaksana
nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
bila mengampu bijak beralas tangan
melayu itu berani jika bersalah
kecut takut kerana benar
janji simpan diperut
selalu pecah dimulut
biar mati anak
jangan mati adat

melayu di tanah semenanjung luas maknanya:
jawa itu melayu,bugis itu melayu,
banjar juga disebut melayu
minangkabau memang melayu
keturunan acheh adalah melayu
jakun dan sakai asli melayu
arab dan pakistan,semua melayu
mamak dan malbari serap ke melayu
malah muallaf bertakrif melayu

dalam sejarahnya
melayu itu pengembara lautan
melorongkan jalur sejarah zaman
begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segala kehilangan

melayu itu kaya falsafahnya
kias kata bidal pusaka
akar budi bersulamkan daya
gedung akal laut bicara

malangnya melayu itu kuat bersorak

terlalu ghairah pesta temasyanya
sedangkan kampung telah tergadai
sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
meski telah memiliki telaga
tangan masih memegang tali
sedang orang mencapai timba
berbuahlah pisang tiga kali
melayu itu masih bermimpi
walaupun sudah mengenal universiti
masih berdagang dirumah sendiri

berkelahi secara melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyum
marahnya dengan diam
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak

watak melayu menolak permusuhan
setia dan sabar tiada sempadan
tapi jika marah tak nampak telinga
musuh dicari ke lubang cacing
tak dapat tanduk telinga dijinjing
maruah dan agama dihina jangan
hebat amuknya tak kenal kawan

berdamai cara melayu indah sekali
silaturrahim hati yang murni
maaf diungkap sentiasa bersahut
tangan dihulur sentiasa bersambut
luka pun tidak lagi berparut
baiknya hati melayu itu tidak terbanding

segala yang ada sanggup diberikan
sehingga tercipta sebuah kiasan:

"dagang lalu nasi ditanakkan
suami pulang lapar tak makan
kera dihutan disusu-susukan
anak dipangkuan mati kebuluran"

bagaimanakah melayu abad dua puluh satu
masihkah tunduk tersipu-sipu?
jangan takut melanggar pantang
jika pantang menghalang kemajuan
jangan segan menentang larangan
jika yakin pada kebenaran
jangan malu mengucapkan keyakinan
jika percaya kepada keadilan

jadilah bangsa yang bijaksana
memegang tali memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
menjadi tuan di negara merdeka

simfoni resah


indahnya kata-kata
dalam gurindam asyik bicara
untuk tidak mencari harta berjuta-juta



merdunya simfoni
manambah yakin membongkar kitab suci
mencari mana Al-Ghazali dan Shafie
tanpa teman berpoya-poya mengjibur hati



kenapa gerangan boleh terjadi?
dagang lalu nasi ditanakkan
kera dihutan disusukan
anak dirumah mati kelaparan?!



mungkinkah
seru jampi serapah
dari serambi Perdanasari
sekadar legasi tanpa wadah.



dan aku semakin keliru
dalam pencarian sunnah nabi
jiwa kian pasrah untuk bertanya
milik siapa gadis itu....!!!



villa mewah tepian sungai
di puncak Bukit Musambay
menyaksikan resah marhain pribumi
dalam ratap kemelut setinggan
diusir jentolak pemerintah
sambil menghitung gaji
yang tak pernah cukup
setiap awal bulan

Selasa, 4 Disember 2007

KUSUT


celah riuhan ribuan insan..
celaru siratan berombak fikiran..
mencari sinaran satu kekuatan..
empat dibadan kutampung beban..

semua kau punah semua kau punah..
kaca yang pecah kan kekal pecah..
yang mendatang mungkin siang..
sang layang-layang kan tetap terbang.